Thursday, 23 October 2014

Do’a Yang Tidak Diperkenankan

Dari Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:”Hai
manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu
melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada
orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.
Firman-Nya:” Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik- baik (halal)
dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang
kamu kerjakan.” (al- Mukminun:51) “Wahai orang-orang yang beriman!
Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan
kepadamu…”(al-Baqarah:172) Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang
seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang
ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu
menadah tangannya ke langit dan berdoa:”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! “.
Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram,
pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram.
Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.”


(Muslim)


Huraian


1. Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak
berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab-adab dan
syarat-syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap
bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya
jarang dikabulkan sehingga kemudian


timbul prasangka buruk kepada Allah SWT.


2. Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk
dari ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya.  Maka
apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam dalam segala
perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah segala apa yang
dipohon akan dikabulkan Allah.


3. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa
takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak
tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini
berdasarkan firman Allah yang bermaksud:”Berdoalah kepada Tuhanmu dengan
merendah diri dan


suara yang lembut ..” (al-A’raf : 55)


4. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:”Tiada seorangpun yang
berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia
memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan
penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di
akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang
serupa.” (at-Tabrani).

Do’a Yang Tidak Diperkenankan

No comments:

Post a Comment